Thursday, February 02, 2012

Syabab: Kewajipanmu #1


inilah kewajipan kita dalam perjalanan ini


Inilah kewajipan kita. Antara kita sedar atau tidak. Antara kita mahu atau tidak. The choice is in our hands.

******


Segala puji bagi Allah, pujian yang banyak, yang indah lagi diberkati. Selawat dan salam ke atas penghulu kita, ikutan kita dan pemimpin kita Muhammad s.a.w., keluarga serta sahabat-sahabat baginda semuanya.

Anak-anakku muda mudi tercinta,

Ketahuilah bahawa kamu adalah harapan umat, lengan-lengannya yang gagah, mindanya yang cerah, masa depannya yang gemilang, harapannya yang bersinar dan kekuatannya yang terpendam. Kamu adalah unsur kebangkitan umat, kemajuan serta kegemilangannya yang paling penting. Itulah kedudukan kamu, itulah nilai kamu. Itulah tanggungjawab kamu dan amanah kamu di hadapan Allah, di hadapan umat dan di hadapan diri kamu sendiri. Sesungguhnya kamu adalah bekalan untuk masa depan, tempat bergantungnya harapan untuk kebangkitan umat kamu.

Dan kami, ketika kami berkata demikian bukan kerana hendak mengampu atau mengambil hati kamu. Sebaliknya kami menegaskan sesuatu yang memang menjadi realiti dan mengiktiraf sesuatu yang benar. Itulah juga yang dipesan oleh kekasih kita yang terpilih, iaitu Nabi Muhammad s.a.w. (maksudnya): “Hendaklah kamu saling berpesan agar memelihara para pemuda dengan baik kerana sesungguhnya mereka itu memiliki hati yang paling lembut.”

Bertitik tolak dari sini, maka terdapat beberapa perkara yang wajib ke atas kamu terhadap semua aspek yang melingkungi kamu dan yang berkaitan dengan diri kamu.

1.             Kewajipan terhadap diri sendiri

Sesungguhnya kamu kini berada pada peringkat usia paling subur dan paling kuat. Maka wajib ke atas kamu memelihara kekuatan ini dan menunaikan hak-haknya. Yang aku maksudkan dengan kekuatan di sini ialah semua jenis dan semua anasirnya, iaitu kekuatan lahiriah, maknawiah, ruhiah, jasadiah dan sebagainya. Kamu kini berada pada peringkat kuat di antara dua peringkat lemah sebagaimana dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud: “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban…” {Ar-Rum:54}

Dan kamu akan ditanya pada Hari Qiamat nanti tentang peringkat ini sebagaimana ditegaskan oleh Nabi s.a.w. di dalam Hadis yang bermaksud: “Tidak akan berganjak dua tapak kaki seseorang hamba sebelum dia ditanya tentang empat perkara: tentang umurnya, ke mana ia dihabiskan? Tentang usia mudanya, untuk apa ia digunakan?…”

Lihat, meskipun muda itu sudah termasuk dalam usia keseluruhannya, namun baginda sebut secara khusus tentangnya memandangkan kepentingan usia peringkat ini.

Kita perhatikan di dalam Hadis tersebut, Nabi s.a.w. mengibaratkan usia muda itu laksana pakaian yang kita pakai untuk satu tempoh tertentu, kemudian kita menaggalkannya. Maka wajar bagi kita mengambil peluang menggunakan usia muda dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya masa muda adalah satu nikmat paling besar sepanjang usia keseluruhannya dan ia adalah salah satu nikmat yang tidak disedari oleh kebanyakan manusia, kesihatan dan masa lapang.

Justeru, hendaklah kamu mempertingkatkan diri kamu dari aspek keimanan, keruhanian, ibadah, ilmu, pembelajaran, sukan dan pelbagai bidang agar kamu menjadi insan yang berguna kepada agama, tanah air, umat dan diri kamu. Sejauh mana besarnya dan beratnya tanggungjawab kamu, maka sekadar itulah persiapan yang kamu harus lakukan untuk memikul tanggugjawab itu. Setinggi mana matalamat yang hendak dicapai, setinggi itulah usaha yang mesti dicurahkan untuk merealisasikannya, dan pastinya ganjarannya juga besar dengan izin Allah.

Maka hendaklah kamu mengelokkan hubungan kamu dengan Allah sama ada ketika rahsia dan terbuka. Jangan kamu lakukan perkara yang mendatangkan kemurkaanNya. Hendaklah kamu memohon pertolongan dan bantuanNya. Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.

Putera puteriku yang disayangi,

Jangan kamu memandang remeh terhadap diri kamu, usaha kamu dan tenaga kamu. Sikap itu tidak boleh dikira sebagai warak langsung. Sesungguhnya sungai-sungai di dalam dunia ini terbentuk daripada titisan air hujan jika air hujan itu dikumpulkan pada satu aliran dan pada waktu yang sama. Namun awas! Jangan pula kamu sombong dan terpedaya kerana sifat sombong walaupun sebesar zarah membuatkan kita haram masuk syurga. Maka hendaklah kamu yakin pada diri kamu, potensi kamu dan keupayaan kamu. Hendaklah kamu belajar dari mereka yang terdahulu daripada kamu. Sesungguhnya hikmah itu pencarian mukmin. Di mana saja dia menemuinya, dialah yang paling berhak mengambilnya.

Realisasikan pada diri kamu 10 sifat individu muslim yang telah digariskan oleh Imam asy-Syahid Hasan al-Banna rahimahullah. Jadikan ia manhaj yang praktikal bagi kamu sedaya mampu kamu. 10 sifat itu ialah:

1.      Jasad yang kuat
2.      Akhlak yang mantap
3.      Fikiran yang bermaklumat
4.      Mampu bekerja
5.      Aqidah yang sejahtera
6.      Ibadah yang sahih
7.      Bermujahadah melawan nafsu
8.      Sangat menjaga waktu
9.      Urusannya tersusun
10.    Berguna untuk orang lain

Sifat-sifat inilah yang menjadi tonggak pembentukan sahsiah mutakamilah yang mampu memikul beban dalam perjalanan membina umat yang maju, cemerlang dan gemilang.

Jadikan diri kamu sebagai qudwah solehah bagi orang sekeliling kamu, sama ada orang yang committed dengan Islam atau tidak, bahkan bagi orang Islam dan bukan Islam. Aku mengingatkan kamu agar berlaku ihsan dalam semua bidang, dalam bidang akdemik, akhlak, kelakuan, berbakti kepada kedua ibu bapa, dakwah kepada Allah, berkhidmat kepada manusia, taat kepada Allah, cintakan tanah air, keluarga dan warganegara seluruhnya.

Jadilah kamu orang yang berenovatif dan kreatif. Keluarkan seluruh keupayaan kamu, gunakan ia untuk berkhidmat kepada tanahair kamu supaya seluruh alam berbangga dengan kamu. Hendaklah kamu jadi orang yang pakar dan mahir dalam pelbagai bidang dan pelbagai jurusan. Semua ini tidak akan terlaksana melainkan dengan ilmu, amal, sabar dan gigih.

Berhati-hatilah kamu dari penyakit hati dan hawa nafsunya. Ketahuilah bahawa orang yang mampu menguasai dirinya, maka dia akan mampu menguasai orang lain. Maka ikhlaskan diri kamu kepada Allah dan taatilah Dia. Perelokkan amal kamu, curahkan tenaga kamu, nescaya Allah redha kepada kamu, umat kamu akan maju dan terlaksanalah matlamat kamu.

Pastikan kamu bersahabat dengan orang yang baik dan orang yang dapat membantu kamu dalam mentaati Allah dan memajukan diri kamu dalam segenap lapangan. Ketahuilah bahawa sebaik-baik sahabat itu ialah orang yang apabila kamu ingat kepada Allah, dia membantu kamu dan apabila kamu lupa, dia mengingatkan kamu.

Putera puteriku yang dikasihi,

Jangan kamu memandang rendah kepada diri kamu dan usia kamu. Berapa ramai sudah pemuda yang telah mengubah wajah sejarah. Di dalam sirah dan sejarah lama dan baru terdapat fakta yang menyokong kata-kataku ini. Maka jadilah kamu pemuda jenis ini, yang sirahnya ditulis dengan huruf-huruf daripada cahaya dan dengan tinta daripada emas.

Maka tanggungjawab kamu sangat besar, lebih-lebih lagi selepas revolusi Arab yang hebat. Dan para pemuda telah memainkan peranan yang sangat cemerlang dalam menjayakan revolusi tersebut. Mereka bekerjasama dengan semua golongan rakyat dan menyatukan seluruh kekuatan yang ada. Ketahuilah bahawa revolusi belum lagi berakhir sehingga terlaksana matlamat kita sepenuhnya. Inilah yang menuntut kita mencurahkan tenaga, menambahkan sumbangan lagi dan lagi sehingga revolusi ini masak ranum dan Negara kita terangkat maju ke hadapan.



Muktamar Tullab Ikhwan Muslimin pertama selepas revolusi,
Cairo, Sabtu 26 Syawal 1432H bersamaan 24 September 2011M



akan bersambung.

Next: Kewajipan terhadap ibu bapa

No comments:

Post a Comment