Kini mata Kiai Alam membesar. Tertampar.
Kemudian perlahan-lahan menunduk.
“Kerana di dalam hati kanda, ada rasa untuk senang.”
Dia mengangkat kepala semula. Menatap wajah isterinya.
“Mengapa berjuang, jika memang akan tewas? Mengapa berjuang, jika tidak mendapat kesenangan?”
“Kanda, kita tidak berjuang untuk balasan di dunia. Kita berjuang untuk balasan di akhirat.”
“Kalau begitupun, mengapa mesti disia-siakan hidup kita ini untuk manusia-manusia yang tidak memahami? Kami berjuang, kami menyeru, tetapi manusia-manusia ini tidak menyahut dan bangkit menyedari.”
Isterinya melebarkan senyuman, dan menggeleng perlahan.
“Kanda, kita tidak menyeru mereka untuk apa yang mereka akan balas, atau apa yang mereka akan buat untuk kita. Kita menyeru mereka, kerana kita cinta. Kita cintakan mereka, kita ingin mereka menemui kebahagiaan. Sebagaimana kita yang bahagia dengan kebenaran ini, kanda.”
Kiai Alam diam. Ya. Dia hakikatnya memahami itu. Kefahaman itu adalah apa yang menggerakkan sahabat Utusan Langit Terakhir, Abu Bakr As-Siddiq untuk menyeru kepada orang lain agar kembali kepada Agama Langit, walaupun ketika itu Kitab Langit belum lengkap. Kerana kita bahagia dengan Agama Langit ini, memahaminya, menyedari kebenarannya, sebab itu kita ingin masyarakat juga merasai apa yang kita rasai.
Sebab, kita cinta kepada mereka. Ingin mereka memasuki syurga bersama kita.
“Sebab itu, Abang Fathi memilih untuk tidak membunuh Sang Asura.” Isterinya bersuara. Isterinya itu turut mengenali Fathi Auni, Kiai Suci, juga kiai-kiai yang lain kerana mereka pernah berkumpul di rumahnya satu waktu dahulu.
“Kerana dia cintakan ummah ini. Dia ingin ummah ini tersedar dengan teguran daripada Allah SWT.”
Kiai Alam tertunduk kembali.
Tersedar dengan kesedaran yang kamil.
Tubuhnya terus terhinggut-hinggut menahan esak tangis.
Tetapi air matanya tetap menitis.
Dan kemudian esakannya menjadi kuat. Air matanya mengalir deras.
Apakah yang telah dia lakukan selama ini?
“Kau wahai adindaku Benjamin…” Tiba-tiba dadanya disentuh lembut oleh Kiai Suci. Terasa seakan-akan sentuhan itu benar-benar menyentuh jiwanya. “Ada dunia di dalam jiwamu. Benar?”
Dan suara itu kedengaran kembali. Membuat tangisnya menjadi-jadi. Dia berjuang untuk dirinya selama ini. Bukan untuk ummah. Dia hanya fikirkan akhiratnya, bukan akhirat ummah. Sungguh, dia khilaf!
“Tiada Tuhan melainkan Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku ini tergolong dari kalangan mereka yang zalim pada dirinya sendiri!” Kiai Alam menjerit di dalam tangis.
(petikan cerpen: kerana kita cinta)
(petikan cerpen: kerana kita cinta)
ada dunia di dalam jiwamu, bukan?
No comments:
Post a Comment